Thursday, 4 July 2013

kewangan

Pening kepala juga dibuatnya apabila kita mendengar pelbagai nasihat kewangan. Ada yang kata melabur pada emas bagus, ada pula yang kata melabur pada perak lebih baik. Ada yang kata Forex haram, tak kurang juga mengatakan Forex halal. Begitu juga dengan jenis pelaburan wang sama ada hendak melabur pada Mutual Fund, bon kerajaan, deposit tetap atau pada syarikat di BSKL.
Seribu satu nasihat kewangan datang daripada pelbagai pihak. Nasihat kewangan tidak bertauliah daripada rakan ketika di kedai mamak sehinggalah nasihat daripada mereka yang digelar perunding kewangan. Tidak kurang juga daripada majalah, akhbar, televi­syen dan radio sarat dengan pelbagai nasihat kewangan yang kadangkala mengelirukan. Pakar kewangan A kata begini lebih baik manakala pakar kewangan B kata begitu pula yang lebih baik.
Semakin banyak nasihat yang kita dengar, semakin keliru jadinya. Hendak pilih nasihat siapa apabila nasihat berbeza datangnya daripada mereka yang mempunyai kredibiliti? Apa kata pula nasihat daripada mereka yang digelar 'perunding kewangan' dalam waktu yang sama mempromosikan perkhidmatan kewangan masing-masing untuk mendapat komisyen? 

Bagaimana pula nasihat positif yang datang daripada kawan sendiri yang tiada latar belakang sijil mahupun diploma dalam kewa­ngan tetapi berjaya dalam satu jenis skim pelaburan? Namun, apabila bertanyakan pada rakan lain yang pernah melabur pada skim terbabit, negatif pula jawapannya.

Memang pening! Sekiranya anda dalam keadaan ini dan keliru mengenai kewangan, jangan risau. Anda bukan berseorangan. Ramai antara kita berada dalam keadaan yang sama. Oleh itu, nasihat siapa yang perlu diikuti?

Sebenarnya dalam kewangan, nasihat terbaik datangnya daripada diri kita sendiri. Sememangnya ia amat penting untuk kita dengar kata-kata pakar kewangan, ambil kira nasihat perunding kewangan serta pertimbangkan juga pesanan rakan yang berpengalaman. Tetapi, keputusan terakhir melakukan sebarang perkara berkaitan kewangan adalah sebaiknya daripada diri kita sendiri selepas mendengar, mempertimbang­kan serta membaca dan mempelajari lebih lanjut sesuatu topik kewangan itu.

Jangan hanya ambil kira nasihat kewa­ngan orang lain kerana perihal kewa­ngan anda dan keluarga pada akhirnya adalah tanggung­jawab anda sendiri. ­Keadaan anda berbeza dengan keadaan orang lain. Apa yang baik bagi orang lain, mungkin tidak sesuai bagi keadaan kewangan anda. 

Sememangnya nasihat kewangan daripada pihak yang mempunyai kredibiliti sangat membantu dalam membuat keputusan kewangan, tetapi pertimbangkan juga punca nasihat dan dapatkan juga beberapa pandangan yang lain.

Banyakkan membaca sama ada melalui buku, akhbar, majalah ataupun secara dalam talian di mana terdapat terlalu banyak ­maklumat kewangan yang anda boleh pelajari dalam membuat keputusan kewangan anda sendiri.

Jangan gopoh dalam membuat sebarang keputusan kewangan terutama sekiranya ia membabitkan sejumlah wang yang besar. Beri masa dalam mempelajari dan mendalami sesuatu perkara itu sebelum memberi sebarang komitmen kewangan. 

Mungkin terdapat satu peluang pelaburan yang baik dari satu pihak yang memerlukan anda mengambil tindakan dan keputusan pantas untuk melabur. Dalam waktu ini, amaran dalam diri anda perlu berbunyi untuk anda lebih berhati-hati dan beri masa untuk anda mendalaminya lagi.

Keputusan kewangan sering membabitkan keputusan emosi manusia. Kita sedia ­ketahui, sebarang keputusan yang menurut emosi ­sering menjadi keputusan yang salah. 

Oleh yang demikian, pastikan anda tidak ­mengabaikan logik dalam menangani keputusan kewangan dengan cara lebih banyak mencari ilmu kewangan supaya anda boleh melakukan pertimbangan dan keputusan anda sendiri!

No comments:

Post a Comment